Monday, February 8, 2010

Cabaran Bangsa Melayu Masa Kini


ORANG Melayu perlu memperkukuhkan pemikiran mereka dengan kebijaksanaan akal dan kekuatan hujah dalam usaha mempertahankan kebudayaan Melayu daripada diganggu gugat dalam asakan globalisasi masa kini terutama dari segi sosio ekonomi, budaya dan permainan permainan politik kaedah ‘Mikro Wave’ dengan keupayaan memanipulasi bahan itu sendiri.
Yang pastinya, penjajahan baru di dalam bentuk penjajahan ekonomi ini akan pasti diwartakan. Sebenarnya, penglobalisasian ini adalah satu sistem unik yang merupakan arena survival of the fittest. Hanya bangsa yang terkuat dan cukup bersedia sahaja akan berjaya menyambung kerelevanan bangsa mereka di masa hadapan. Bangsa Melayu mungkin goyah dan tidak bersedia kerana ekonominya tidak kukuh, manakala politiknya masih lagi porak peranda. Jika benar berlakunya penglobalisasian di masa yang terdekat ini, bangsa Melayu mungkin akan terjerumus kembali seperti zaman penubuhan Malayan Union 1946 dulu. Tetapi kali ini, usaha penyatuan dan perjuangan bangsa Melayu mungkin sia-sia. Ini adalah kerana penjajah-penjajah baru ini telah mengambil iktibar dari sejarah silam dan akan memastikan ‘pisang tidak berbuah 2 kali’. Tatkala itu, rintihan bangsa Melayu tidak akan didengar oleh bangsa-bangsa lain yang mana mereka sendiri sibuk mempertahankan diri sendiri.
Berdasarkan fakta-fakta sejarah politik bangsa Melayu dan pelbagai senario perkembangan dunia yang bakal ditempuhi nanti, sebenarnya landasan perjuangan setiap orang Melayu sekarang ini hanyalah SATU, iaitu perjuangan untuk kembali bersatu hati dan suara. Perbezaan ideologi politik perlu diketepikan demi melengkapkan kriteria berhasilnya Anjakan Paradigma bangsa Melayu yang diimpikan. Perjuangan menegakkan agama Islam pula bukan hak eksklusif mana-mana parti Melayu. Malah perjuangan Islam adalah kewajipan dan jihad setiap orang Islam di setiap detik kehidupan mereka Orang Melayu tahu bahawa kesenangan, kemewahan dan ketahanan bangsa adalah terletak kepada politiknya. Kemajuan-kemajuan bangsa seperti ilmu, harta benda, k-ekonomi dan sebagainya merupakan hasil-hasil daripada kekuatan tersebut dan tertakluk kepada berjayanya perlaksanaan kekuatan suara politik itu. Hanya melalui kekuatan dan kesatuan Melayu sahaja, pemfokusan bangsa Melayu sekarang dapat diperbetulkan dan disalurkan sepenuhnya kepada menyegerakan usaha-usaha membentuk bangsa Melayu berdaya saing, kuat samada ekonomi, persaudaraan dan politiknya.
Kita mesti sedar bahawa bangsa-bangsa lain di dunia sedang sibuk memperlengkap dan memperkuatkan bangsa mereka agar dapat mempertahankan kerelevanan kewujudan bangsa mereka di dunia tanpa sempadan nanti. Kita juga boleh mengambil iktibar suasana politik kaum-kaum majmuk di Malaysia ini. Bangsa Cina mempunyai parti terbesar iaitu MCA dan Gerakan di dalam kerajaan. Walau bagaimana bergolak pun suasana parti dan berlakunya penarikan pemimpin-pemimpin dari satu parti, pergerakan ahli-ahlinya masih di dalam parti yang berada di dalam kerajaan. Bangsa India pula di wakili oleh MIC yang mempunyai pemimpin-pemimpin yang begitu signifikan di dalam kaumnya. PPIP turut menguatkan lagi politik bangsa India di dalam kerajaan. Bangsa Melayu pula mempunyai 3 kumpulan parti yang signifikan iaitu UMNO, PAS dan Keadilan. Masaalahnya ialah mereka tidak duduk sebumbung. Ini menyebabkan berlakunya perpecahan suara dan kuasa politik bangsa Melayu yang signifikan. Sebab itulah bangsa Melayu perlu menyegerakan penyatuan agar tidak akan berlaku lagi igauan peristiwa-peristiwa hitam di dalam perjalanan bangsa Melayu Penglobalisasian di dalam menyediakan dunia tanpa sempadan, biarlah bermula dengan penglobalisasian di dalam bangsa Melayu itu sendiri, dalam ertikata menyediakan bangsa Melayu yang satu, yang tidak dipisahkan lagi oleh perbezaan ideologi politik dan yang berjaya mengikis segala budaya-budaya negatif
Kesimpulannya, di dalam rakyat melaung-laungkan semangat hormat-menghormati, bersatu padu dan harmoni sesama kaum majmuk di Malaysia ini, seluruh bangsa Melayu perlulah dulu menanam dan mempraktikkan semangat mulia ini sesama sendiri. Barulah terasa kekuatan dan kerelevanan kewujudan bangsa Melayu itu. Anjakan Paradigma perjuangan bangsa Melayu perlu berubah. Perjuangan bangsa Melayu sekarang perlu proaktif dan tidak lagi bertindak dengan signifikan hanya selepas berlaku sesuatu peristiwa hitam.

No comments:

Post a Comment